Beliau bukan calang-calang penghibur. Namanya megah di persada nusantara. Kehidupannya bukan lagi rahsia. Kejayaannya berganda-ganda. Kontroversinya menggegar dunia.
Pemilik nama Kris Dayanti ini dilahirkan pada 24 Mac 1975 di Malang, Jawa Timur, Indonesia. Beliau merupakan anak perempuan kepada pasangan Trenggono dan Rachma Widadiningsih. Selain Kris, pasangan ini juga mempunyai seorang lagi anak yang juga merupakan bintang besar Indonesia, Yuni Shara. Nyanyian memang telah menjadi minat Kris semenjak dari kecil lagi. Pada usianya 9 tahun, Kris atau lebih senang dipanggil KD (sebutannya Ka-Day) telah merakamkan lagu iringan untuk siri TV superhero popular Jepun, Megaloman yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Biarpun masih kecil, bakat nyanyian KD dikagumi. Selang 3 tahun selepas itu, beliau telah mendapat peluang untuk merakamkan album 'Burung-Burung Malam' dimana lagu tersebut menjadi lagu runut bunyi untuk filem Catatan Si Emon. Album ini telah dilancarkan sewaktu KD masih lagi di Sekolah Menengah Pertama (Junior High School) dan diterbitkan oleh Gembara Record pada tahun 1987. Namun begitu, rekod ini tidak mendapat sambutan sewajarnyar.
Kegagalan tersebut tidak mematahkan semangat anak gadis ini. Beliau meneruskan minat dalam bidang seni tarik suara dengan mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan nyanyian yang lain. Di samping itu, beliau juga turut menyertai pertandingan peragaan yang diadakan di kawasannya. Pada tahun 1991, KD telah berjaya untuk mendapat tempat dalam senarai akhir pencarian Gadis Sampul, sebuah pertandingan pencarian model remaja. Biarpun tidak berjaya, KD telah bertemu dengan seorang pemuzik bernama James F. Sundah. Beliau mengagumi bakat yang ada pada KD lantas menawarkannya untuk merakamkan 2 buah lagu secara serius. Semenjak itu, KD mula dikenali dikalangan pemuzik tempatan. Setelah mendapat dorongan daripada pemuzik handalan Youngki Suwarno dan Chris Pattikawa, KD mencuba nasib pula menerusi pertandingan nyanyian popular, Asia Bagus. Biarpun KD tidak begitu menonjol berbanding peserta lain, namun tuah ternyata di pihaknya, apabila beliau layak melangkah masuk ke pusingan akhir di Jepun sekaligus menjadi juara keseluruhan. Kemenangan tersebut telah melayakkan beliau untuk mendapat kontrak rakaman bersama label PonyCanyon dan beliau telah berpeluang merakamkan album sulungnya di Singapura. Single pertamanya, 'Krisdayanti' telah dilancarkan pada tahun 1993 namun single tersebut hanya dipasarkan di Singapura dan Jepun sahaja. Prestasi seni KD terus meningkat naik apabila pada tahun yang sama, beliau telah memenangi anugerah Young Talented Artist Award, FIDOF Award yang telah berlansung di Bucharest, Romania. KD berterusan mengharumkan tanahairnya apabila pada tahun 1997, beliau sekali lagi telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam pertandingan The Best of Asia Bagus. Beliau telah bertanding menentang pemenang-pemenang Asia Bagus dari tahun-tahun yang lain. Kehadiran KD dalam industri semakin disedari ramai orang kerana ternyata beliau merupakan bintang baru yang berkualiti tinggi. Dalam beliau sibuk mencipta nama di arena muzik rantau Asia, nama KD juga semakin mekar di negara sendiri. Menerusi album Terserah (1995) dan album duetnya bersama Anang Hermansyah iaitu Cinta (1996), KD menguguhkan pengaruhnya dalam muzik. Peminatnya semakin ramai, begitu juga mereka-mereka yang mengidamkannya. Namun begitu, KD telah mengambil keputusan untuk bernikah dengan pasangan duetnya sendiri, Anang.
Kerjaya nyanyian KD terus megah. Sepanjang pembabitannya sehingga ke hari ini, beliau mempunyai katalog muzik yang diisi dengan hampir 30 album studio baik solo, duet mahupun runut bunyi. Ini juga termasuk album CTKD, duet bersama rakan baiknya iaitu diva tersohor Malaysia, Dato' Siti Nurhaliza. Lagu yang benar-benar melonjakkan nama KD ke puncak kemasyhuran adalah 'Menghitung Hari' ciptaan Melly Goeslaw. Vokalnya dilihat semakin matang dan KD tidak lagi menurunkan key lagu dalam persembahannya live-nya seperti sebelum ini. Dipercayai beliau telah berhenti merokok dan lebih mementingkan kesihatan fizikal berbanding sebelumnya. Hal ini telah mengembalikan keyakinan peminat terhadap mutu nyanyiannya. Banyak lagu beliau yang menjadi hit di kalangan peminat serantau. Antaranya adalah seperti 'Mencintaimu', 'Cobalah Untuk Setia', 'Cahaya' dan terbaru 'Aku Wanita Biasa'.
Album dan rangkaian lagu yang dinyanyikan oleh KD bukan sahaja popular malah ianya diiktiraf kualitinya. Beliau bukan sahaja pernah memenangi anugerah album terbaik di Anugerah Muzik Indonesia, tetapi juga pernah merangkul anugerah di Anugerah Industri Muzik Malaysia, dan juga beberapa kali memenangi kategori Artis Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik. KD terkenal dengan sifatnya yang berani. Beliau bukan sahaja boleh menyanyi, malahan turut mempunyai bakat yang dipuji dalam bidang akting. Ini dapat dibuktikan apabila beliau telah dicalonkan sebanyak dua kali dalam anugerah Festival Sinetron Indonesia menerusi kategori Pameran Pembantu Wanita Terbaik untuk sinetron Abad 21 dan Istri Pilihan.
Keunggulan KD diteruskan dengan pelbagai lagu kejayaan. Beliau juga turut dipilih untuk menjayakan rangkaian konsert besar di bawah nama '3 Diva' iaitu sebuah konsert istimewa yang menggabungkan 2 lagi diva seni suara Indonesia iaitu Titi DJ dan Ruth Sahanaya. Konsert di bawah pimpinan muzik Erwin Gutawa itu mendapat sambutan hebat terutamnya daripada kalangan peminat di Indonesia dan Malaysia. Walaupun diulit dengan pelbagai kejayaan manis, namun sebagai figura awam, KD tidak pernah terlepas daripada cerita panas dan barisan kontroversi yang menggegarkan. Ini termasuk pengakuan berani beliau yang mengakui telah melakukan beberapa pembedahan kosmetik bagi mencantikkan dirinya dan juga pengakuan peribadi yang berani di dalam buku biografi hasil tulisannya iaitu 'Krisdayanti:My Secret, My Life'. Begitu juga dengan kontroversi hebat yang melanda bahtera perkahwinannya. Pernikahannya dengan Anang, walaupun telah dikurniakan dengan dua orang cahaya mata, hanya bertahan selama 13 tahun. Pada 2009, penceraian mereka menjadi antara berita yang paling menggemparkan dunia seni kerana ia disertakan dengan perdebatan hangan dan pelbagai tuduhan yang mengaibkan. Biarpun mendapat celaan daripada peminat dan media Indonesia, KD tidak pernah takut untuk meneruskan kehidupannya sebagai artis ternama. Beliau bangkit meneruskan kerjaya muziknya walau kisah peribadi dan percintaanya menjadi tatapan umum. KD adalah epitome seorang diva yang tepat. Ini kerana beliau senantiasa menitikberatkan soal kesempurnaan, baik dari segi kecantikkan dan juga persembahan pentasnya. Tidak pernah beliau mengecewakan penonton. Beliau pasti tahu bagaimana cara untuk membangkitkan emosi penonton agar terhibur dengan keletahnya dan juga tahu bagaimana untuk membuai perasaan mereka dengan kelunakan dan kelantangan suaranya. Pernah disenaraikan sebagai salah seorang wanita berpengaruh di Indonesia, ternyata KD seorang penyanyi dan lagenda dalam pembikinan. Masih jauh lagi perjalanan kariernya dan pasti beliau akan terus mencapai sukses pada masa mendatang. Sekiranya beliau meneruskan disiplin dan cara pembawakan dirinya di atas pentas, tidak mustahil suatu hari nanti, beliau mampu berdiri setanding dengan penghibur hebat seperti Hetty Koes Endang dan Anita Sarawak. Krisdayanti, diva era baru Indonesia.








1 Note(s):
suka kris....syg dato siti....:)
Post a Comment